Lapangan terbang MAHB rekod 7.8 juta pergerakan penumpang

Published 2 years ago on 17 August 2022 | Author TIN Media
KUALA LUMPUR:

Pergerakan penumpang Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bagi rangkaian lapangan terbangnya berjumlah 7.8 juta penumpang pada Julai 2022, bersamaan dengan 62.2 peratus paras seperti sebelum pandemik.

MAHB dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, Malaysia merekodkan 4.8 juta keseluruhan pergerakan penumpang, dengan sektor antarabangsa mencatatkan jumlah tertinggi baharu seramai 1.6 juta penumpang sejak pandemik bermula dan sektor domestik kekal dengan jumlah di atas tiga juta.

"Pergerakan penumpang antarabangsa melebihi paras tiga juta buat pertama kalinya pada Julai sebanyak 3.1 juta penumpang, dipacu oleh tempoh cuti musim panas dan musim haji serta lebih banyak penyambungan semula laluan oleh syarikat penerbangan," kata pengendali lapangan terbang itu.

MAHB juga berkata, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu mengalu-alukan penyambungan semula penerbangan Air Busan dari Busan, Korea Selatan dengan penerbangan tiga kali seminggu, penerbangan harian AirAsia ke Singapura dan tiga penerbangan seminggu ke Don Mueang.

"Batik Air dan AirAsia juga memulakan semula perkhidmatan penerbangan harian dari Kuala Namu, Medan dan penerbangan dua kali seminggu ke Cam Ranh masing-masing dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA)," katanya.

Selain itu, MAHB berkata KLIA dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LGK) telah disenaraikan sebagai antara lapangan terbang terbaik dunia dalam kaji selidik terbaharu Airport Service Quality (ASQ) bagi suku kedua 2022.

"KLIA berkongsi pencapaian itu dengan tujuh lapangan terbang lain dalam kategori 40 juta penumpang setahun dan LGK merupakan satu-satunya lapangan terbang yang memperoleh skor penuh dalam kategori 2.0-5.0 juta penumpang setahun.

"Pencapaian ini bukti kepada komitmen berterusan MAHB bagi memastikan kecemerlangan perkhidmatan dan operasi," katanya.

Sementara itu, MAHB berkata lebih tiga juta jumlah pergerakan penumpang direkodkan di Istanbul SGIA pada Julai 2022.