AirAsia menawarkan diskaun 31 peratus untuk semua tempat duduk dan penerbangan destinasi domestik serta antarabangsa yang dikendalikan oleh AirAsia Malaysia dan AirAsia X melalui airasia Super App, bagi meraikan perpaduan rakyat Malaysia sempena Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos ini.
Tetamu boleh menempah mulai hari ini sehingga 4 September untuk perjalanan antara 6 Februari dan 31 Julai 2023 ke destinasi domestik popular seperti Pulau Pinang, Langkawi, Kota Kinabalu, Kuching dan Johor Bahru
Tempahan juga boleh dibuat untuk pulang dari destinasi antarabangsa termasuk Bangkok, Jakarta, Singapura, New Delhi, Perth, Melbourne, Sydney, Auckland, Seoul dan pelbagai destinasi popular lain.
Semua tempat duduk Premium Flatbed dalam penerbangan AirAsia X yang menawarkan lebih keselesaan, ruang kaki tambahan dan fleksibiliti juga ditawarkan pada diskaun 31 peratus.
Ketua Pegawai Komersial Kumpulan AirAsia Karen Chan, berkata syarikat penerbangan itu kekal komited untuk menghubungkan semula rakyat Malaysia bersama orang tersayang sempena Hari Kemerdekaan ini.
"Oleh kerana kebanyakan tetamu tidak dapat melancong atau melawat keluarga mereka selama lebih dua tahun, kami ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada mereka dengan menyediakan tambang penerbangan bernilai hebat untuk kembali terbang bersama-sama AirAsia.
"Sebagai sebuah jenama tempatan, kami akan sentiasa menawarkan yang terbaik kepada tetamu dan akan terus menyokong industri pelancongan tempatan. Selain itu, kami juga berusaha untuk memperkukuh rangkaian dan mengaktifkan semula semua laluan ke kapasiti prapandemik menjelang awal 2023.
"Kami berbesar hati untuk menyokong aspirasi Keluarga Malaysia dan sejajar dengan tema sambutan Hari Kemerdekaan pada tahun ini iaitu teguh bersama, kami berharap semua rakyat Malaysia dapat mengambil kesempatan untuk bertemu keluarga dan sahabat serta pada masa yang sama, membantu meningkatkan industri pelancongan tempatan dan ekonomi Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.
Berikutan pemulihan industri pelancongan yang kukuh dan pembukaan penuh sempadan negara pada tahun ini, AirAsia merekodkan pertumbuhan 1,038 peratus jumlah penumpang yang diterbangkan dari Januari hingga Ogos berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.
Syarikat penerbangan ini juga sedang giat mengembangkan rangkaian domestik bagi menyokong permintaan yang semakin meningkat dengan melancarkan beberapa laluan baharu termasuklah Kota Kinabalu-Kuala Terengganu, Bintulu-Johor Bahru dan Pulau Pinang-Sibu, untuk memacu sektor pelancongan tempatan dan pemulihan ekonomi.
Hasilnya, AirAsia telah menerbangkan lebih 7.4 juta tetamu dalam negara dari Januari hingga Ogos tahun ini, menyaksikan peningkatan sebanyak 849 peratus berbanding tahun 2021.
AirAsia juga menawarkan tambahan diskaun RM15 kepada pemegang kad Visa jika mereka membayar tempahan penerbangan menggunakan kad Visa sebagai kaedah pembayaran pilihan dengan perbelanjaan minimum sebanyak RM200.
Ahli AirAsia pula boleh mengumpul mata ganjaran airasia untuk semua pembelian di airasia Super App, daripada tempahan penerbangan kepada penginapan hotel, airasia ride, airasia food, dan banyak lagi.
Ia juga boleh digunakan seperti wang tunai untuk menebus penerbangan percuma, penginapan hotel dan tawaran gaya hidup daripada rakan kongsi eksklusif AirAsia.